Panduan Pembelian VW Golf GTi MK6 Terpakai

Ya, kami memang menyukai Golf GTi sejak model pertamanya iaitu MK1 GTi 1977 dan sebuah unit milik kami masih tersimpan rapi di dalam garaj. Sejak tiga dekad yang lalu, kami telah memiliki empat buah Golf GTi yang berbeza. MK2 GTi sudah tentu adalah yang terbaik sehingga ke hari ini, MK3 GTi adalah satu kesilapan dari segi reka bentuk dan yang turut berada di dalam garaj kami sekarang adalah MK5 GTi, sebuah GTi yang ‘over engineered’.

Apabila MK6 GTi tiba, kami agak tergoda, namun MK5 GTi kami masih dalam keadaan yang baik dan dengan transmisi manual enam kelajuannya (ya kami mempunyai Golf GTi manual enam kelajuan) kami tidak mempunyai sebarang sebab untuk beralih ke sebuah GTi dengan DSG setelah mendengar banyak masalah yang dialami oleh pemilik di seluruh dunia.

Jadi, kami kekal dengan MK5 tanpa sebarang penyesalan sehingga ke hari ini dan kini, dengan harga MK6 yang jatuh di bawah paras RM69k, ada segilintir rakyat Malaysia yang ingin menaik taraf kereta Jepun mereka kepada sebuah ‘hot hatch’ Jerman.

Volkswagen Golf GTi generasi keenam atau MK6 pertama kali diperkenalkan di Paris Motor Show pada Oktober 2008 dan dengan bangganya dipasarkan sebagai ‘facelift yang direka semula’ (reengineered facelift) bagi MK5 Golf GTi yang popular itu. MK6 GTi sebenarnya merupakan versi MK5 GTi yang ditambah baik dari sudut kabin (isu plastik dan pemasangan panel) dan kejuruteraan (isu kotak gear auto, audio dan turbo).

Produksi MK6 GTi bermula pada lewat tahun 2008 dan ia diteruskan sehingga lewat 2018 di Eropah kerana ternyata ia sangat laris. Di bawah hud, MK6 GTi mempunyai enjin 2.0 TSI yang sama dengan MK5 namun dengan pengecas turbo K03 BorgWarner.

Dengan MK6, perancang produk VW menambah baik kabin dengan plastik dan persembahan visual yang lebih baik, memberikannya penampilan berkualiti dan feel yang sama seperti Audi A4 TFSI (yang lebih mahal). Penampilan luaran diperkemaskan lagi dengan garisan-garisan yang lebih menonjol dan imej premium untuk mencabar Mercedes-Benz A-Class dan BMW 1 Series.

Hari ini, selepas 8 hingga 12 tahun, terdapat banyak unit terpakai untuk dijual di dalam iklan-iklan tempatan dan harganya bermula dari RM60k hingga RM120k untuk model terakhir. Dilancarkan pada lewat 2009 oleh VW Malaysia pada harga RM209,888, ia mendapat sambutan yang menggalakkan dan ‘laku keras’ di pasaran. Malah pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Ford Focus ST dan Mazda3 MPS tidak dapat menandingi popularitinya.

Enjin EA88 VW Group yang ringan dan kompak menyalurkan 207bhp dan 280Nm tork. Ya, bunyinya biasa sahaja, namun apabila anda memandu GTi ini anda pasti menyangka bahawa terdapat sekurang-kurangnya 50bhp dan 50Nm ekstra di bawah bonetnya.

Respon segera yang diberikan, penghantaran tork membuatkan para pemilik Porsche kagum (sebab itulah ramai pemilik Porsche mempunyai GTi di dalam garaj mereka) dan pengendaliannya pula lebih baik berbanding pesaing-pesaingnya dari Jerman.

Bagaimanapun, langit tidak selalu cerah apabila membeli sebuah MK6 GTi terpakai. Masalah-masalah yang membelenggu enjin TSI dan kotak gear DSG berterusan selama beberapa tahun dan ini memaksa pemilik pertama untuk mendapatkan khidmat bengkel persendirian untuk menyelesaikan kebanyakan masalah yang dialami.

Hari ini, kebanyakan isu yang dialami oleh MK6 dan MK5 GTi terpakai telah diselesaikan oleh pemilik asal. Apabila anda membelinya, anda hanya perlu bersedia untuk menghadapi beberapa isu.

Isu-isu Golf GTI Yang Perlu Diperhatikan

· Mulakan dengan sistem penyaman udara. Pemampat adalah antara item yang akan rosak setiap dua hingga tiga tahun. Membeli jenama yang lain tidak akan menyelesaikan masalah jadi anda perlu menggunakan pemampat yang sama. Sediakan kira-kira RM3,500 untuk menggantikannya. Pemampat kami dibaiki oleh seorang sifu air-con di Petaling Jaya. Jangan hantar ke pusat servis terpilih.

· Kotak gear DSG memerlukan minyak pelincir dan penapis baharu setiap 40,000 hingga 45,000 km disebabkan oleh cuaca lembap negara kita. Lupakan saja sela masa yang disyorkan dan jangan tangguh semata-mata untuk jimat beberapa ratus ringgit. Dapatkan khidmat mekanik yang boleh dipercayai bagi memastikan pelincir betul-betul ditukar.

· Penukaran minyak pelincir enjin dan penapis. Jangan tunggu untuk sela masa 10,000 km seperti yang disyorkan. Tukar minyak pelincir dan penapis sebelum 7,000 km. Ini akan ‘menyelamatkan’ enjin anda untuk jangka masa panjang.

· Tingkap kuasa dan kunci sepusat (central lock) mungkin akan mengalami kerosakan. Jangan pergi ke pusat servis bertauliah terpilih untuk menggantikannya. Anda hanya perlu mencari mekanik yang bijak untuk membaikinya. Kami telah melakukannya di PJ dan kosnya separuh lebih murah berbanding apa yang dikenakan di pusat servis terpilih. Ia juga akan tahan sehingga lima atau enam tahun akan datang.

· Jika radio asal rosak, jangan risau kerana ia juga berlaku kepada kami sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun. Pernah sekali kami tersilap membeli unit kedua dari pusat servis pada harga RM3,300. Beli unit aftermarket yang jauh lebih murah (kurang dari RM1,900), tahan lebih lama dan mempunyai lebih banyak ciri.

· Terdapat beberapa panggilan semula (recall) bagi MK6 pada tahun-tahun awal pengeluarannya yang melibatkan penegang rantai pemasaan (timing chain tensioner) dan pam air. Periksa rekod servis bagi memastikan kedua-dua isu telah diselesaikan.

· Enjin suntikan bahan api terus 2.0 itu terkenal dengan mendapan karbon dalaman yang memerlukan pembersihan injap secara berkala (dari 60,000 hingga 80,000 km). Masalah ini berlaku pada model-model lain yang menggunakan enjin yang sama seperti Audi Q5, A4, A6 dan model Passat dan Tiguan yang awal.

Aksesori Golf GTI Terpakai Yang Perlu Dielak

Apabila anda hendak membeli sebuah MK6 atau MK5 GTi terpakai, mulakan dengan kereta yang tidak pernah ditala secara berlebihan. Kebanyakannya pasti pernah diberi talaan atau pengubahsuaian. MK5 kami mempunyai modifikasi Stage 1, namun talaan Stage 2 masih boleh diterima. Kuasa yang lebih tinggi bermakna pemandunya suka mengejar dan menakutkan pemandu M3 dan AMG.

Ini juga bermakna enjin dan DSG dipaksa untuk bekerja keras. Untuk yang terbaik, dapatkan GTi yang standard atau dengan talaan yang sederhana. Rim dan ekzos yang terlalu bersar perlu dielak. Bukan itu sahaja, kereta yang rendah atau lowered bermakna bahagian bawahnya mungkin mempunyai kerosakan atau lebih teruk lagi, bunyi bising di dalam kabin.

Harga Jualan Golf GTI Terpakai

Harga di pasaran ketika ini bergantung kepada tahun pengeluaran dan aksesori yang telah ditambah oleh pemilik terdahulu. Ada beberapa unit GTi yang mempunyai aksesori aftermarket bernilai lebih RM50k. Adakah anda memerlukannya? Keputusan adalah milik anda. Kami mencadangkan kereta yang mempunyai cat yang bersih dan original, dengan rekod penyelenggaraan yang lengkap untuk menunjukkan kerja-kerja pembaikan yang pernah dilakukan.

Ini akan memberikan anda pengalaman permotoran yang mengujakan dan sebuah kereta yang anda mungkin ingin miliki sehingga keadaan di Malaysia pulih dalam masa 8 hingga 10 tahun lagi. Susut nilai akan menjadi minimal, dengan MK8 GTi yang tiba dengan sistem elektronik dan kabin yang canggih dan mahal untuk dijaga, serta kuasa yang tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan MK6 GTi.

MK8 GTi baharu dikuasakan oleh enjin EA888 evo4 2.0-liter turbo yang didakwa mampu menghasilkan 245bhp dan 370Nm tork yang merupakan angka yang sangat mengagumkan. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 6.4 saat dan kelajuan maksimum 240km/j juga boleh dicapai dengan begitu mudah.

Golf MK7 GTi yang kekal sebagai peneraju segmen selepas bertahun-tahun lamanya dikuasakan oleh enjin petrol turbo pancitan terus EA888 2.0-liter (TSI) dengan rekaan kepala silinder yang diperbaik. Ia menghasilkan 220PS (dari 4,500 hingga 6,200 rpm) dan mengambil masa 6.4 saat untuk memecut sehingga 100km/j. Tork maksimum 350 Nm tersedia dari 1,500 hingga 4,600 rpm.

Golf MK6 GTi menggunakan enjin EA888 yang menghasilkan 208bhp dan 280Nm tork, dipadankan dengan transmisi DSG enam kelajuan yang telah dipertingkatkan untuk memberikan pemandu pecutan 100km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum 240km/j.

Jadi, seperti yang anda boleh lihat, perbezaan angka prestasi pemanduan antara MK6 yang mempunyai 208bhp dan MK8 yang mempunyai 245bhp adalah sangat kecil, malah perbezaan masa pecutan 0-100km/j antara model-model ini hanya 0.4 saat. Dalam keadaan ekonomi semasa, unit terpakai yang berkualiti adalah pilihan yang lebih baik berbanding unit baharu. Bukan itu sahaja, apabila membeli GTi yang terpakai dengan tempoh waranti yang sudah tamat, anda bebas untuk melakukan pelbagai modifikasi atau tuning mengikut citarasa anda.

Adakah artikel ini bermanfaat?

4 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *