Resepi Juadah Raya Tradisional Yang Semakin Dilupakan

Salam Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua! Tinggal satu hari je lagi berpuasa, Raya pula tiba. Walaupun raya kali ni sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelum ni, tak bermakna kita tak boleh sambut raya dengan meriah.

Lepas berpuasa dan mengikuti tips makanan sempena bulan ramadan, tak sah kalau tak ada kuih-kuih atau juadah raya semasa raya. Kali ni kami nak kongsikan sesuatu yang sedikit istimewa; resepi juadah raya tradisional yang semakin hilang ditinggal zaman. Jom kita tengok!

5 Juadah Raya Tradisional Dengan Resepi Senang

1. Lemang

Bahan-bahan:

  1. 2 batang buluh bersaiz sederhana – Pastikan buluh yang nak digunakan dibilas menggunakan air yang bersih, terutamanya bahagian dalam. Basuh dua ke tiga kali dan pastikan ia betul-betul kering sebelum digunakan. Jangan pilih buluh yang terlalu panjang untuk mengelakkan bahagian atas lemang tidak masak sempurna. Ketebalan pun penting juga; buluh nipis mudah pecah, manakala buluh tebal boleh melambatkan proses pembakaran lemang.
  2. Daun pisang – Digunakan untuk membalut bahagian dalam buluh. Pastikan anda memilih daun pisang yang tidak tua ataupun terlalu muda.
  3. Beras pulut – 1kg
  4. Kelapa (santan) – 3 ke 4 biji
  5. Garam – Secukup rasa

Cara-cara:

  1. Basuh beras pulut dan tos hingga kering.
  2. Masukkan daun pisang untuk membalut bahagian dalam buluh. Pastikan ia tidak digulung dengan lapisan yang banyak.
  3. Kemudian masukkan beras pulut ke dalam buluh sehingga hampir penuh. Tinggalkan ruang sepanjang dua inci.
  4. Gaulkan santan dengan garam secukup rasa. Kemudian masukkan santan ke dalam buluh hingga paras atas.
  5. Kedudukan buluh haruslah didirikan separa condong dan dimasak dengan api sederhana kuat.
  6. Pastikan setiap 15 minit ia dibalik-balikan supaya ia masak dengan sekata dan tidak hangus.
  7. Masak sehingga tiga ke empat jam. Mulai dua jam ke atas, anda boleh cucuk lidi ke dalam lemang untuk tahu ia dah masak ke belum. Kalau melekit, maknanya sudah masak, tapi kalau masih basah atau berair, maknanya anda perlu tunggu lagi.
  8. Lepas tu, boleh la diangkat. Belahkan lemang dari bahagian atas dan kopak menggunakan tangan. 
  9. Keluarkan lemang yang dibaluti dengan daun pisang tadi, dan potong untuk dihidangkan.

Nampak macam susah? Kalau buat bersama, pasti jadi mudah. Inilah masa yang paling sesuai untuk anda eratkan silaturrahim dengan keluarga anda. Dalam masa yang sama, kita juga dapat memastikan kelangsungan warisan turun-temurun nenek moyang kita. 

Ajak ahli keluarga anda untuk turut membantu dan ajar mereka cara yang betul untuk membuat lemang. Tapi sebelum cuba, pastikan kawasan yang anda gunakan untuk bakar lemang ni lapang dan jauh dari bahan-bahan mudah terbakar.

2. Serunding

Ada lemang, ada ketupat, tapi tak ada serunding, tak lengkap la pagi raya kita. Serunding ni diperbuat daripada daging, sama ada ayam atau lembu. Inilah resepi untuk buat serunding daging lembu!

Bahan-bahan:

  1. Daging – ½ kg
  2. Cili kering – 1 genggam
  3. Bawang merah besar – 6 biji
  4. Bawang putih – 8 ulas
  5. Lengkuas – Dihiris kepada 5 keping
  6. Halia besar – 2 ketul
  7. Serai – 5 batang
  8. Kunyit hidup kecil – 6 ketul
  9. Jintan putih – 2 sudu besar
  10. Jintan manis – 2 sudu besar
  11. Serbuk kari – 3 sudu besar
  12. Serbuk ketumbar – 2 sudu besar
  13. Santan – Dari 1 biji kelapa

Cara-cara:

  1. Rebus daging sehingga empuk. Pastikan ia cukup empuk untuk dicarik-carik kemudian.
  2. Carik-carik daging. Ini merupakan bahagian paling leceh dalam penyediaan serunding. Kalau ramai yang bantu, senang sikit kerja.
  3. Gunting cili kering kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil dan rebuskan ia sehingga empuk. Selepas selesai direbus, kisarkan ia menggunakan mesin kisar.
  4. Kisar bawang merah, bawang putih, lengkuas, halia besar, serai, dan kunyit hidup.
  5. Panaskan minyak menggunakan api sederhana dan masukkan cili kering yang telah dikisar dan tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan jintan putih dan jintan manis.
  7. Masukkan serbuk kari dan serbuk ketumbar. Tumis hingga pecah minyak.
  8. Masukkan santan. Gaul hingga agak sebati.
  9. Masukkan daging yang sudah dicarik. Teruskan gaul.
  10. Masukkan garam secukup rasa.
  11. Teruskan gaul sehingga kering.
  12. Bila dah kering, maknanya serunding anda dah siap. Tujuan masak serunding ni sehingga kering ialah supaya ia tahan lebih lama.
  13. Hidangkan serunding dengan lemang atau ketupat.

Selain daripada daging lembu, serunding juga boleh dimasak dengan ayam, ikan, udang, kelapa, malah cendawan. Juadah ni memang wajib makan semasa Raya dan juga Ramadan, sesuai untuk sahur dan berbuka puasa.

3. Dodol

Sebut je dodol, mesti semua orang tau. Secara tradisi, dodol dibuat waktu malam menjelang Raya Aidilfitri supaya di pagi raya, ia sudah mencapai kepekatan dan kekenyalan yang sesuai untuk dihidangkan. 

Hanya tujuh bahan sahaja diperlukan untuk membuat dodol, tapi prosesnya tidak begitu mudah. 

Bahan-bahan:

  1. Tepung pulut – 2 cawan
  2. Santan pekat – 2 cawan
  3. Gula merah / gula melaka – 2 cawan
  4. Gula pasir – 1 cawan
  5. Air – 1 cawan
  6. Garam (sedikit sahaja)
  7. Daun pandan (untuk aroma)

Cara-cara:

  1. Masak gula merah / gula melaka dan gula pasir dicampur dengan secawan air. Masukkan daun pandan untuk menambah aroma.
  2. Bancuh tepung pulut menggunakan santan di dalam bekas berbeza. Kemudian, tapis bancuhan ini.
  3. Campur kedua-dua bancuhan di atas dan tambahkan secubit garam.
  4. Gunakan kuali yang tidak melekat dan masukkan bancuhan tadi ke dalam kuali. Pastikan anda menggunakan api yang kecil.
  5. Ini bahagian yang paling sukar untuk membuat dodol. Kacau! Pastikan bancuhan ini dikacau tanpa henti sehingga ia menjadi pekat dan likat. Mula-mula tu memang senang nak kacau, tapi makin lama, makin susah sebab semakin pekat.
  6. Bila bancuhan tu dah pekat dan likat, jadi la dodol. Biasanya kena tunggu dodol dah sejuk, baru senang nak potong dan hidangkan.

Di kampung, biasanya orang masak dodol pakai bara arang. Senang cerita, lagi kecil api, lagi bagus. Proses kacau dodol boleh mengambil masa 2 ke 3 jam (bergantung pada sukatan), tapi kalau ada ramai orang tolong, senang la sikit kerja. Boleh gilir-gilir kacau. Selamat mencuba!

4. Kuih Siput

Berbeza dengan juadah-juadah yang kami kongsikan di atas, kuih siput adalah juadah yang makin ditinggal zaman. Kalau kita tanya generasi muda sekarang, silap-silap mereka tak pernah tengok pun kuih siput ni. 

Sebenarnya tak susah pun nak buat kuih siput ni. Jadi, kami kongsikan resepi ni, mudah-mudahan ia tidak lapuk ditelan zaman.

Bahan-bahan:

  1. Tepung gandum – 500g
  2. Marjerin – 150g
  3. Udang kering – 2 sudu besar
  4. Bawang putih – 2 ulas dihiris nipis
  5. Rempah kari – 1 sudu besar
  6. Serbuk cili – 1 sudu besar
  7. Serbuk jintan manis – 1 ½ sudu besar
  8. Serbuk jintan putih – 1 ½ sudu besar
  9. Telur – 1 biji
  10. Daun kari – 5 tangkai
  11. Garam – Secukup rasa
  12. Air – 150ml

Cara-cara:

  1. Tumis bawang putih dan udang kering hingga separa masak, keluarkan dari kuali dan tumbuk sehingga halus.
  2. Cairkan marjerin.
  3. Gaulkan tepung gandum, rempah kari, serbuk cili, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, dan campurkan bawang putih dan udang kering yang ditumbuk halus tadi.
  4. Tuang marjerin cair secara berperingkat atas sambal anda, dan gaul bancuhan tadi sehingga menjadi seperti serbuk. Pastikan adunan anda sebati dan sekata untuk mendapatkan kuih siput yang rangup.
  5. Pukul telur.
  6. Tuang telur secara berperingkat dan di selang-seli dengan air sambil menggaul adunan sehingga ia menjadi doh lembut. Biarkan doh seketika.
  7. Gentel doh menjadi bentuk bujur dan tekan di atas acuan kuih siput. Letakkan di permukaan yang tidak melekat (boleh gunakan tepung untuk elakkan ia melekat).
  8. Goreng bersama dengan daun kari sehingga ia bertukar kekuningan.

Begitulah caranya nak buat kuih siput. Senang kan? Kepada yang tak tau mana nak cari atau tak pernah rasa kuih siput ni, cuba la resepi ni. Bila dah mula makan, mesti susah nak berhenti.

5. Kuih Peneram / Denderam

Kuih terakhir dalam senarai kami ni pun antara kuih yang susah nak jumpa dan semakin dilupakan. Walaupun rupa dia macam ni, jangan salah sangka, sebab rasa dia memang sangat sedap.

Bahan-bahan:

  1. Tepung beras – 500g
  2. Tepung gandum – 1 sudu besar
  3. Gula merah – 200g
  4. Gula pasir – 200g
  5. Air – 1 ¼ cawan

Cara-cara:

  1. Campurkan gula merah, gula pasir, dan air. Masak hingga mendidih.
  2. Tuang ke dalam campuran tepung beras dan tepung gandum. Gaul hingga sebati menggunakan senduk.
  3. Biarkan adunan selama empat ke lima jam minimum. Lagi lama perap, lagi sedap.
  4. Selesai perap, tekap dengan acuan dan goreng dengan minyak yang betul-betul panas.
  5. Sudah sedia dihidangkan! Selamat menjamu selera.

Melihat kepada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuih ni, ia sesuai dijadikan pemanis mulut. Waktu raya, selepas satu hari menjamah serunding atau rendang, boleh la jamah kuih ni pula. 

Kami harap perkongsian kami kali ni dapat manfaatkan anda untuk mencuba resepi-resepi mudah ini. Mari kita gunakan kesempatan yang ada ni untuk mengeratkan silaturrahim dengan ahli keluarga kita, dan bersama mengajar generasi baru untuk hidupkan kembali tradisi lama ini tak kira dimana kita berada. 

Jom bersama #mudahsokonglokal dan kekalkan tradisi kita supaya ia tidak hilang ditelan zaman. Boleh belajar resepi raya sambil menikmati juadah raya hasil air tangan sendiri. Tambahan lagi, bahan-bahan resepi boleh dibeli di Mudah, atau lepas ni boleh jual di Mudah juga.

Akhir kata, kami ingin ucapkan terima kasih kerana sudi membaca dan kongsikan artikel ni. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri! Maaf zahir dan batin, tulus dari kami di Mudah.my.