Resepi Juadah Raya Tradisional Yang Semakin Dilupakan

Salam Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua. Tinggal satu hari je lagi berpuasa, Raya pula tiba. Walaupun raya kali ni sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelum ni, tak bermakna kita tak boleh sambut raya dengan meriah.

Sebut pasal raya, tak sah kalau tak ada kuih-kuih atau juadah raya. Kali ni kami nak kongsikan sesuatu yang sedikit istimewa; resepi juadah raya tradisional yang semakin hilang ditinggal zaman. Jom kita tengok!

LEMANG

Bahan-bahan:

  1. Buluh – Pemilihan buluh adalah sangat penting. Pastikan buluh yang nak digunakan tu dibilas menggunakan air yang bersih, terutamanya bahagian dalam. Basuh dua, tiga kali pun boleh. Lepas tu pastikan ia betul-betul kering sebelum digunakan. Jangan pilih buluh yang terlalu panjang untuk mengelakkan bahagian atas lemang tidak masak sempurna. Ketebalan pun penting juga; buluh nipis mudah pecah manakala buluh tebal boleh melambatkan proses pembakaran lemang. – 2 batang buluh bersaiz sederhana.
  2. Daun pisang – Digunakan untuk membalut bahagian dalam buluh. Pastikan anda memilih daun pisang yang tidak tua ataupun terlalu muda.
  3. Beras pulut – 1 kg
  4. Kelapa (santan) – 3 ke 4 biji
  5. Garam – Secukup rasa

Cara-cara:

  1. Basuh beras pulut dan tos hingga kering.
  2. Masukkan daun pisang untuk membalut bahagian dalam buluh. Pastikan ia tidak digulung dengan lapisan yang banyak.
  3. Kemudian masukkan beras pulut ke dalam buluh sehingga hampir penuh. Tinggalkan ruang sepanjang dua inci.
  4. Gaulkan santan dengan garam secukup rasa. Kemudian masukkan santan ke dalam buluh hingga paras atas.
  5. Kedudukan buluh haruslah didirikan separa condong dan dimasak dengan api sederhana kuat seperti gambar di bawah.

6. Pastikan setiap 15 minit ia dibalik-balikan supaya ia masak dengan sekata. Jangan terlupa balik-balikkan, hangus nanti.

7. Masak sehingga tiga ke empat jam. Mulai dua jam ke atas, anda boleh cucuk lidi ke dalam lemang untuk tahu ia dah masak ke belum. Kalau melekit, maknanya sudah masak, tapi kalau masih basah atau berair, maknanya anda perlu tunggu lagi.

Lepas tu, boleh la diangkat. Belahkan lemang dari bahagian atas dan kopak menggunakan tangan. Keluarkan lemang yang dibaluti dengan daun pisang tadi, dan potong untuk dihidangkan.

Nampak macam susah? Inilah masa yang paling sesuai untuk anda eratkan silaturrahim dengan keluarga anda. Dalam masa yang sama, kita juga dapat memastikan kelangsungan warisan turun-temurun nenek moyang kita. Ajak ahli keluarga anda untuk turut membantu dan ajar mereka bagaimana cara yang betul untuk membuat dodol. Baru dapat feel raya. Tapi ebelum cuba, pastikan kawasan yang anda gunakan untuk bakar lemang ni lapang dan jauh dari bahan-bahan mudah terbakar.

Kalau anda tak tau mana nak cari buluh, boleh dapatkan di Mudah. Klik je link ni. Lemang yang dah siap pun ada jual: https://bit.ly/ifdlemang

Sumber:
http://lemangohlemang.blogspot.com/p/resepi-lemang_9.html
https://www.hasrulhassan.com/2014/07/resepi-lemang-tradisional-sedap-asli.html

SERUNDING

Ada lemang, ada ketupat, tapi tak ada serunding, tak lengkap la pagi raya kita. Serunding ni diperbuat daripada daging, sama ada ayam atau lembu. Hari ni kami nak kongsikan cara buat serunding daging lembu.

Bahan-bahan:

  1. Daging – ½ kg
  2. Cili kering – 1 genggam
  3. Bawang merah besar – 6 biji
  4. Bawang putih – 8 ulas
  5. Lengkuas – dihiris kepada 5 keping
  6. Halia besar – 2 ketul
  7. Serai – 5 batang
  8. Kunyit hidup kecil – 6 ketul
  9. Jintan putih – 2 sudu besar
  10. Jintan manis – 2 sudu besar
  11. Serbuk kari – 3 sudu besar
  12. Serbuk ketumbar – 2 sudu besar
  13. Santan – dari 1 biji kelapa

Cara-cara:

  1. Rebus daging sehingga empuk. Pastikan ia cukup empuk untuk dicarik-carik kemudian.
  2. Carik-carik daging. Ini merupakan bahagian paling leceh dalam penyediaan serunding. Kalau ramai yang bantu, senang sikit kerja.
  3. Gunting cili kering kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil dan rebuskan ia sehingga empuk. Selesai direbus, kisarkan ia menggunakan mesin kisar.
  4. Kisar bawang merah, bawang putih, lengkuas, halia besar, serai dan kunyit hidup.
  5. Panaskan minyak menggunakan api sederhana dan masukkan cili kering yang telah dikisar dan tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan jintan putih dan jintan manis.
  7. Masukkan serbuk kari dan serbuk ketumbar. Tumis hingga pecah minyak.
  8. Masukkan santan. Gaul hingga agak sebati.
  9. Masukkan daging yang sudah dicarik. Teruskan gaul.
  10. Masukkan garam secukup rasa.
  11. Teruskan gaul sehingga kering.

Bila dah kering, maknanya serunding anda dah siap. Tujuan masak serunding ni sehingga kering ialah supaya ia tahan lebih lama.

Sekarang dah boleh hidangkan serunding ni untuk dipadankan dengan lemang atau ketupat.

Kalau tak sempat nak buat sendiri, jangan risau. Kat Mudah pun ada jual serunding. Klik je pautan ni: https://bit.ly/ifdserunding

Sumber:
https://www.bidadari.my/resepi-serunding-daging/
http://eserunding2u.blogspot.com/2010/08/resepi-serunding-daging.html

DODOL

Sebut je dodol, mesti semua orang tau. Secara tradisi, dodol dibuat waktu malam menjelang Raya Aidilfitri supaya di pagi raya, ia sudah mencapai kepekatan dan kekenyalan yang sesuai untuk dihidangkan. Nak buat dodol ni, hanya tujuh bahan sahaja diperlukan. Ya, memang sikit je bahan, tapi nak buat tu yang susah.

Bahan-bahan:

  1. Tepung pulut – 2 cawan
  2. Santan pekat – 2 cawan
  3. Gula merah/gula melaka – 2 cawan
  4. Gula pasir – 1 cawan
  5. Air – 1 cawan
  6. Garam (sedikit sahaja)
  7. Daun pandan (untuk aroma)

Cara-cara:

  1. Masak gula merah /gula melaka dan gula pasir dicampur dengan secawan air. Masukkan daun pandan untuk menambah aroma.
  2. Bancuh tepung pulut menggunakan santan di dalam bekas berbeza. Kemudian, tapis bancuhan ini.
  3. Campur kedua-dua bancuhan di atas dan tambahkan secubit garam.
  4. Gunakan kuali yang tidak melekat dan masukkan bancuhan tadi ke dalam kuali. Pastikan anda menggunakan api yang kecil.
  5. Ini bahagian yang paling sukar untuk membuat dodol. Kacau!
  6. Pastikan bancuhan ini dikacau tanpa henti sehingga ia menjadi pekat dan likat. Mula-mula tu memang senang nak kacau, tapi makin lama, makin susah sebab semakin pekat.

Bila bancuhan tu dah pekat dan likat, jadi la dodol. Biasanya kena tunggu dodol dah sejuk, baru senang nak potong dan hidangkan.

Di kampung, biasanya orang masak dodol pakai bara arang. Senang cerita, lagi kecil api, lagi bagus. Proses kacau dodol boleh mengambil masa 2 ke 3 jam (bergantung pada sukatan). Kalau ada ramai orang tolong, senang la sikit kerja. Boleh gilir-gilir kacau. Selamat mencuba!

Tak larat nak kacau dodol? Dapatkan je di Mudah: https://bit.ly/ifddodol

Sumber:
https://siraplimau.com/resepi-cara-buat-dodol-enak/
https://mrbagaimana.com/2018/01/02/bagaimana-cara-cara-membuat-dodol/https://mrbagaimana.com/2018/01/02/bagaimana-cara-cara-membuat-dodol/

KUIH SIPUT

Berbeza dengan juadah-juadah yang kami kongsikan di atas, kuih siput adalah juadah yang makin ditinggal zaman. Kalau kita tanya pada generasi mudah sekarang, silap-silap mereka tak pernah tengok pun kuih siput ni. Sebenarnya tak susah pun nak buat kuih siput ni. Jadi, kami kongsikan resepi ni, mudah-mudahan ia tidak lapuk ditelan zaman.

Bahan-bahan:

1. Tepung gandum – 500 gram
2. Marjerin – 150 gram
3. Udang kering – 2 sudu besar
4. Bawang putih – 2 ulas dihiris nipis
5. Rempah kari – 1 sudu besar
6. Serbuk cili – 1 sudu besar
7. Serbuk jintan manis – 1 ½ sudu besar
8. Serbuk jintan putih – 1 ½ sudu besar
9. Telur – 1 biji
10. Daun kari – 5 tangkai
11. Garam – secukup rasa
12. Air – 150 ml

Cara-cara:

1. Tumis bawang putih dan udang kering hingga separa masak, keluarkan dari kuali dan tumbuk sehingga halus.
2. Cairkan marjerin.
3. Gaulkan tepung gandum, rempah kari, serbuk cili, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih dan campurkan bawang putih dan udang kering yang ditumbuk halus tadi.
4. Tuang marjerin cair secara berperingkat sambal anda gaul bancuhan tadi sehingga menjadi seperti serbuk. Pastikan adunan anda sebati dan sekata untuk mendapatkan kuih siput yang rangup.
5. Pukul telur.
6. Tuang telur secara berperingkat dan di selang-seli dengan air sambil menggaul adunan sehingga ia menjadi doh lembut. Biarkan doh seketika.
7. Gentel doh menjadi bentuk bujur dan tekan di atas acuan kuih siput. Letakkan di permukaan yang tidak melekat (boleh gunakan tepung untuk elakkan ia melekat).
8. Goreng bersama dengan daun kari sehingga ia bertukar kekuningan.

Begitulah caranya nak buat kuih siput. Senang kan? Kepada yang tak tau mana nak cari atau tak pernah rasa kuih siput ni, cuba la resepi ni. Bila dah mula makan, mesti susah nak berhenti.

Kat Mudah pun ada jual kalau anda tak sempat nak buat sendiri: https://bit.ly/ifdkuihsiput

Sumber:
https://resepichenom.com/resepi/kuih-siput-rangup/show
https://cikmatahariku.blogspot.com/2018/08/resepi-kuih-siput-yang-sedap-rangup-dan.html

 

KUIH PENERAM / DENDERAM

Kuih terakhir dalam senarai kami hari ni pun antara kuih yang susah nak jumpa dan semakin dilupakan. Walaupun rupa dia macam ni, jangan salah sangka, sebab rasa dia memang sangat sedap. Jom kita tengok macam mana nak buat kuih ni.

Bahan-bahan:

1. Tepung beras – 500 gram
2. Tepung gandum – 1 sudu besar
3. Gula merah – 200 gram
4. Gula pasir – 200 gram
5. Air – 1 ¼ cawan

Cara-cara:

1. Campurkan gula merah, gula pasir dan air. Masak hingga mendidih.
2. Tuang ke dalam campuran tepung beras dan tepung gandum. Gaul hingga sebati menggunakan senduk.
3. Biarkan adunan selama empat ke lima jam minimum. Lagi lama perap, lagi sedap.
4. Selesai perap, tekap dengan acuan dan goreng dengan minyak yang betul-betul panas.

Okay! Dah boleh dihidangkan. Melihat kepada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuih ni, ia sesuai dijadikan pemanis mulut. Waktu raya, selepas satu hari menjamah serunding atau rendang, boleh la jamah kuih ni pula. Semoga berjaya!

Sebagai alternative, anda juga boleh dapatkan kuih ni di Mudah: https://bit.ly/ifdkuihpeneram

Sumber:
https://iluminasi.com/bm/resepi-kuih-peneram-gebu-di-dalam-dan-rangup-di-luar.html
https://daridapur.com/resepi-kuih-peneram/

Kami harap perkongsian kami kali ni dapat anda manfaatkan untuk mencuba resepi-resepi mudah ini. Mari kita gunakan kesempatan yang ada ni untuk mengeratkan silaturrahim dengan ahli keluarga kita dan bersama kita cuba ajar generasi baru untuk hidupkan kembali tradisi lama ini tak kira dimana kita berada. Nak balik kampung tak boleh, jadi kita bawa budaya dari kampung ke bandar.

Jom bersama #mudahsokonglokal dan kekalkan tradisi kita supaya ia tidak hilang ditelan zaman. Boleh belajar resepi raya sambil menikmati juadah raya hasil air tangan sendiri. Mana tau, lepas ni boleh jual di Mudah!

Akhir kata, kami ingin ucapkan terima kasih kerana sudi membaca dan kongsikan artikel ni. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri! Maaf zahir dan batin, tulus dari kami di Mudah.my.

#mudahmy
#mudahsokonglokal